Oleh : Nurul Izyan bt Lazam
Al-Qur’an memiliki keistimewaan-keistimewaan yang membezakannya dengan kitab-kitab sebelumnya. Di antara keistimewaannya ialah :
Pertama : Lafaz al-Qur’an dan maknanya adalah dari Allah. Tugas Rasulullah s.a.w hanyalah menyampaikannya kepada umat manusia. Lafaznya berbahasa Arab. Allah berfirman yang maksudnya :
Sesungguhnya kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya). (Az Zukhruf:3)
Kedua : Al-Qur’an merupakan kitab yang syamil yang merangkumi seluruh ajaran Tuhan yang ada pada kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya termasuk Taurat, Injil, dan Zabur. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
Dan kami Telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang Telah datang kepadamu. untuk tiap-tiap umat diantara kamu, kami berikan aturan dan jalan yang terang ( Al Maidah:48)
Ketiga : Al-Qur’an terjamin dari sebarang pindaan atau tokok tambah dan pengurangan kerana Allah sendiri menjamin kebenarannya. Firman Allah yang maksudnya :
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya. ( Al Hijr:9)
Keempat : Al-Qur’an itu suatu mukjizat, ertinya semua manusia lemah dan tidak mampu untuk mendatangkan sepertinya walaupun mereka dibantu oleh golongan jin sekalipun, mereka tidak mampu menciptanya hatta sebaris ayat pun. Firman Allah yang bermaksud :
Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain".
( Al Isra’:88)
Kelima : Al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu. Ini bermakna bahawa Al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum muslimin mengatakan bahawa Al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden.
Keenam : Al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.
(Al Qamar :17)
Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Justeru itu, al-Qur’an sengaja diturunkan oleh Allah dengan suatu gaya bahasa yang istimewa, indah, mudah, tidak sukar bagi sesiapa pun untuk memahaminya dan tidak sukar pula untuk mengamalkannya, selagi mana ia disertai dengan keikhlasan hati dan keinginan yang kuat untuk mendalaminya. Al-Quran tetap kekal hingga ke hari kiamat dan manusia wajib mengikutinya. Di sebabkan itu, ia dianggap sebagai sumber pertama dalam perundangan Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat kepada segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.